Bagaimanapun suspek dikatakan tidak sampai hati dan mengubah tindakannya itu kepada cubaan mengugut dengan membakar kereta Mohd. Asri dalam kejadian Mac lalu itu.

Selain itu, Mie Tomoi yang mempunyai 16 rekod jenayah lampau berkaitan samun dan dadah itu turut terlibat dalam kes tetak Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JHEAIPs), Dr. Hazman Hassan pada tahun lalu.

Sehubungan itu, Ketua Polis negeri, Datuk Noor Mushar Mohd menyifatkan kes berkenaan sudah selesai dan siasatan polis kini hanya terarah kepada pihak ketiga yang mengupah Mie Tomoi.

Jelas Noor Mushar, pihaknya masih menyiasat motif utama kejadian tersebut dan tidak menolak kemungkinan berkaitan soal dendam.

“Kita masih belum mengenal pasti pihak ketiga itu (yang mengupah) dan siasatan lanjut mengenainya akan diteruskan. Suspek pada masa ini masih direman sehingga esok.

“Apabila cukup bukti, kita akan dedahkan (pihak ketiga). Suspek pada mulannya diupah sehingga ke tahap hampir membunuh namun suspek tidak sampai hati berbuat demikian dengan hanya mengugut membakar kereta sahaja,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Pada 6 Julai lalu, Mie Tomoi,48, telah ditahan di sebuah rumah di Kuala Ketil, Kedah selepas beberapa bulan pihak polis memburunya.

Hasil soal siasat, peniaga pakaian telah mengaku terlibat dengan kes bakar kereta Mufti Perlis bersama seorang lagi rakannya yang telah ditangkap oleh polis sebelum ini.

Pada Mei lalu, seorang peniaga pasar malam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan membakar Mohd. Asri, Mac lalu.

Bagaimanapun, tertuduh Mohd. Azimar Abd. Razak, 36, mengaku tidak bersalah selepas tuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Manakala empat lagi suspek dalam kes bakar kereta Mohd. Asri dibebaskan dengan jaminan polis.

Dalam kejadian pada 22 Mac lalu, kereta rasmi Mohd. Asri iaitu jenis Honda Accord rosak setelah disyaki dibakar oleh pihak tertentu semasa diletakkan di kediamannya di Jalan Persiaran Wawasan di sini pada pukul 5.45 pagi.- UTUSAN ONLINE