Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, kesemua yang ditahan berusia 17 hingga 35 tahun dengan mereka memfokuskan kegiatan jenayah di kawasan tempat letak awam, pusat beli-belah dan kawasan perumahan terutama pangsapuri.

Menurut Baharudin, modus operandi yang biasa digunakan penjenayah terbabit ialah mencuri kenderaan dan akan menjualnya pada hari yang sama, pada kadar harga lebih murah.

“Contohnya, ada beberapa kes, selepas mencuri kenderaan pada pukul 9 malam dan setelah melakukan ubah suai, mereka akan menjualnya dengan menghantar kepada pelanggan yang luar daripada kawasan seperti di Kelantan tiga jam kemudian. Antara motosikal yang sering dicuri ialah Honda EX5, Modenas dan Yamaha Y150.

“Kebanyakan mereka mencuri kenderaan dengan mematahkan pemegang motosikal sebelum meleraikan bahagian-bahagian motosikal untuk dijual di pasaran gelap. Kesemua motosikal yang dijual di antara RM200 hingga RM1,500.

“Kesemua yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan manakala tiga daripada tangkapan tersebut dalam proses untuk diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA),” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Baharudin berkata, berdasarkan tangkapan itu juga, pihaknya berjaya menumpaskan tiga kumpulan curi kereta iaitu Geng Ford Ranger, Geng Jai Kancil dan Geng Suria Volkswagen yang masing-masing memfokuskan kepada kenderaan pacuan empat roda, Perodua Kancil dan Volkswagen.

“Semakan mendapati Geng Jai Kancil terlibat dengan 10 kes, Geng Ford Ranger (4) dan Geng Suria Volkswagen (2) di daerah ini. Secara keseluruhannya, sebanyak 25 buah motosikal, kereta (12), lori (1) dan lima buah rangka motosikal telah dirampas.

“Berdasarkan statistik bermula 1 Januari sehingga semalam, sebanyak 255 buah kenderaan motosikal dilaporkan hilang berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu 478 kes dengan penurunan sebanyak 223 kes,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE