Itu penderitaan yang terpaksa ditanggung oleh seorang remaja perempuan orang kurang upaya (OKU) pembelajaran dari Kampung Gial Tengah, Mata Ayer di sini selepas dipercayai didera oleh ibu dan abang kandungnya.

Perbuatan tidak berperikemanusiaan itu walau bagaimanapun terbongkar selepas seorang individu berkongsikan mengenai penderitaan remaja perempuan berusia 14 tahun itu melalui ciapan di laman Twitternya semalam sehingga menyebabkan perkongsian tersebut tular dan mendapat perhatian ramai.

Dakwa individu yang dikenali sebagai Jurais di laman Twitternya itu, dia yang berada di rumah kakaknya yang merupakan jiran mangsa terdengar remaja tersebut mengetuk pintu rumahnya selepas dibiarkan tidur di luar awal pagi semalam.

Menurut Jurais, remaja itu meluahkan kepadanya bahawa dia setiap hari dipaksa tidur di luar rumah selain dipukul oleh ibunya itu termasuk pernah disimbah dengan air panas.

“Aku sumpah lemah dengan ayat dia (remaja itu). Kena pukul dengan buluh, kena simbah dengan air panas, kena kapit dengan playar (mak dia ingat anak itu tahanan ISA ka?) Tapi anak syurga ini tetap hati mulia.

“Apa maklumat yang aku dapat ini bukan dari orang ketiga atau dengar-dengar orang bercerita. Aku dengar dari mulut dia sendiri. Susah juga budak 14 tahun ‘sembam’ (lembam) macam ini hendak menipu,” kongsinya melalui laman Twitternya itu.

Berikutan itu, polis hari ini telah memanggil ibu remaja tersebut yang berusia 40 tahun dan seorang lagi anak lelakinya berusia 15 tahun bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintenden Nanda Maarof berkata, pihaknya menerima maklumat daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menyiasat mengenai aduan yang dikongsikan seorang individu di media sosial itu.

Katanya, individu berkenaan telah membuat pendedahan mengenai seorang kanak-kanak perempuan berusia 14 tahun disyaki telah didera dan diabaikan oleh penjaganya.

“Hasil rakaman percakapan awal mangsa menyatakan bahawa dia telah dipukul oleh abang dan ibu. Hasil pemeriksaan ke atas mangsa mendapati terdapat kesan kecederaan lama pada bahagian belakang badan, pergelangan tangan kiri dan satu kesan luka baru di bahagian belakang leher. Mangsa dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Kedua-dua individu itu dijangka mendapat perintah reman esok bagi membantu siastaan di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001. - UTUSAN ONLINE