Suspek pertama yang merupakan nenek kepada bayi itu ditahan pukul 1 pagi tadi di Kulim, Kedah sejurus polis menerima laporan kejadian berkenaan tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, wanita berusia 57 tahun itu ditahan di hadapan balai polis Kulim Hi-Tech.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati suspek mengaku anak perempuan sulungnya yang berumur 28 tahun terlibat dalam kes menyembunyikan kelahiran sebelum menyuruh anaknya itu meninggalkan bayi perempuan tersebut di kawasan masjid tersebut semalam.

“Suspek yang berasal dari Kulim itu merupakan seorang balu yang mempunyai dua anak perempuan dan seorang cucu perempuan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, sejurus wanita itu ditahan, polis turut menahan ibu bayi berkenaan ketika menerima rawatan di Hospital Kulim kerana komplikasi akibat uri yang tertinggal.

Katanya, suspek berkenaan yang merupakan ibu tunggal yang kematian suami pada 2015 mempunyai seorang anak perempuan berumur 6 tahun.

“Hasil siasatan mendapati bayi yang dibuang itu adalah hasil hubungan sulit suspek,” katanya.

Menurut Noorzainy, kes itu disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

Semalam, akhbar melaporkan, jemaah Masjid Lama Ara Kuda, Tasek Gelugor di sini dikejutkan dengan penemuan bayi perempuan dipercayai baru dilahirkan yang ditinggalkan di dalam kotak di kaki lima masjid berkenaan.

Bayi itu ditemukan seorang kanak-kanak lelaki sebelum memaklumkan kepada jemaah yang ketika itu sedang bersiap menunaikan solat zuhur kira-kira pukul 1.15 petang. - UTUSAN ONLINE