Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, antara bentuk ganjaran yang ditawarkan adalah kenaikan pangkat secara segera atau surat penghargaan bergantung kepada jenis kes yang terlibat.

"Saya menerima banyak laporan daripada anggota keselamatan yang bertugas di sempadan negara ketika membuat lawatan di Kelantan pada dua hari lepas mengenai cubaan beberapa pihak untuk menyogok anggota untuk melepaskan mereka daripada pemeriksaan.

"Ada kes di sempadan Kelantan-Thailand beberapa minggu lalu yang mana anggota kita menolak cubaan menyogok mereka, jadi saya harapkan ada banyak lagi tindakan sebegini diambil oleh pegawai dan anggota kita di masa akan datang," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Hamid turut menyatakan kekecewaan terhadap pegawai serta anggotanya yang dikesan terlibat dalam kes jenayah baru-baru ini di Pasir Mas, Kelantan dan ibu negara.

"Sedih dalam bulan Ramadan ada kes 'ajaib' yang sanggup dilakukan anggota yang tidak bertanggungjawab seperti merompak pengurup wang serta bersubahat dengan penyeludup mercun.

"Jabatan Siasatan Jenayah telah bertindak dengan cepat, pasukan tidak akan memberi ruang dan akan mengambil tindakan keras kepada mereka yang terlibat, mereka sudah ditangkap dan direman, kita takkan tolak ansur," tegasnya.

Selain itu, Abdul Hamid turut menegaskan beliau telah memberi kata dua kepada semua warga PDRM supaya memutuskan apa juga hubungan dengan sindiket judi dan maksiat.

"Arahan untuk menghentikan amalan membazir juga sudah dikeluarkan... tidak ada lagi desakan untuk orang bawahan cari tajaan dan sebagainya bagi memuaskan hati pegawai atasan.

"Saya menyerulah kepada sindiket-sindiket judi dan maksiat, negara ini kaya dengan sumber alam semula jadi usahakanlah, buat kerja yang halal dan kepada warga PDRM selagi belum pakai baju jingga, belum terlambat untuk berpatah balik," ujarnya. - UTUSAN ONLINE