MUSA AMAN
MUSA AMAN

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun sebaliknya berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sibuga itu akan pulang dalam tempoh terdekat.

“Kita jangka dalam masa terdekat ini beliau akan pulang. Saya tidak boleh kata hari ini atau esok. Tapi yang pasti dalam masa terdekat.

“Lokasi sebenar beliau berada masih tidak dapat dipastikan namun pegawai kita ada cuba menghubunginya. Jadi dakwaan yang tular itu tidak betul,” katanya.

Beliau berkata de­mikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Gotong-Royong Mega 1.0 Perangi Aedes peringkat Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Mes Pegawai Kanan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Ujar Mohamad Fuzi, pihaknya berharap Musa dapat pulang de­ngan kadar segera bagi melengkapkan siasatan terhadapnya.

Semalam, tular bahawa Musa yang bersembunyi atas alasan mendapatkan rawatan kesihatan di United Kingdom akan dibawa balik ke Malaysia hari ini.

Berdasarkan ke­nyataan itu, Musa akan mendarat di Singapura terlebih dahulu sebelum dibawa pulang ke Malaysia sama ada di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang atau Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

Musa menghilangkan diri sejak 14 Mei lalu selepas dicari polis bagi membantu siasatan kes membabitkan Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin.

Dalam pada itu, beliau juga perlu mengangkat sumpah dalam tempoh tiga bulan selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 11 Jun lalu.

Sebelum ini, Mohamad Fuzi mengesahkan Musa diletakkan dalam senarai individu yang dikehendaki.