BENTONG 26 Mei – Hanya kerana pergi ke tandas dalam masa yang agak lama seorang murid darjah dua cedera pada bahagian telinga selepas ditarik oleh seorang guru di sebuah sekolah di sini.
Difahamkan semasa kejadian, murid perempuan berusia lapan tahun berkenaan yang sedang menjalani peperiksaan pergi ke tandas akibat sakit perut.
Bagaimanapun akibat terlalu lama berada di dalam tandas seorang guru bertindak menarik telinga murid berkenaan hingga luka.
Difahamkan, akibat insiden itu, ibu bapa murid berkenaan kemudiannya membawa kanak-kanak itu mendapatkan rawatan di Hospital Tawakal Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah, Superintenden Yusof Unis berkata, polis yang menerima laporan mengenai kes itu Selasa lalu sedang giat melakukan siasatan.
“Kes ini dibuka mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan berdasarkan siasatan kanak-kanak berkenaan koyak belakang telinga,” ujarnya.
Sementara itu, usaha Mingguan Malaysia menghubungi keluarga mangsa gagal apabila mereka tidak menjawab panggilan telefon.