Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Perak, Khalid Tik berkata, serbuan dilakukan di sebuah premis di kebun kelapa sawit di Ayer Tawar pukul 2.30 petang melibatkan 21 Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Putrajaya dan Perak.

“Hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan menjalankan perniagaan mengilang dan membekal minyak pelincir berjenama.

“Seramai empat lelaki dan dua wanita ditahan dalam serbuan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Khalid, sebuah daripada tiga premis tersebut sudah dua kali diserbu tetapi masih lagi menjalankan kegiatan yang sama.

Katanya, premis memasarkan minyak pelincir tiruan itu menggunakan cap dagang sebuah syarikat terkenal dan dijual bukan sahaja sekitar Perak dan Selangor tetapi juga kepada agensi kerajaan.

“Satu daripada premis berkenaan merupakan kilang yang menghasil dan memproses minyak pelincir tiruan dengan mencampurkan minyak pelincir berjenama bersama minyak terpakai.

“Dua lagi premis yang diperiksa merupakan kedai menjual alat ganti jentera berat yang mendapat bekalan daripada kilang memproses minyak pelincir tiruan dan memasarkannya kepada pengguna,” katanya.

Menurut Khalid, siasatan awal daripada pihak wakil cap dagang mengesyaki barang yang disita adalah produk tiruan berdasarkan kualiti dan kod yang digunakan adalah berbeza berbanding produk asli.

“KPDNHEP telah merampas 209 tong minyak pelincir dan dokumen untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 8 (2) (a) dan (b) Akta Perihal Dagangan 2011 dan minyak pelincir tiruan yang dirampas akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk pemeriksaan lanjut,” katanya. - UTUSAN ONLINE