Itu merupakan antara taktik nekad terbaharu sindiket penyeludupan dadah di negara ini, apabila dua ‘keldai’ mereka ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas mengejar suspek di laut, pagi kelmarin.

Kesemua dadah jenis syabu itu dile­takkan dalam tong ikan berwarna jingga yang selalu digunakan para nelayan dan dibawa dengan bot gentian kaca tanpa dilindungi apa-apa bagi meyakinkan pihak berkuasa kononnya tiada sebarang aktiviti jenayah berlaku.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi, Laksamana Madya Maritim, Datuk Mohd. Zubil Mat Som berkata, dalam serbuan pada pukul 7.30 pagi itu, dua suspek berusia 27 dan 31 tahun ditahan selepas dikejar sejauh 1.1 batu nautika di perairan Tanjung Rhu, Pelabuhan Klang.

“Tangkapan itu susulan operasi melalui risikan pihak Maritim Malaysia berkaitan aktiviti penyeludupan dadah dan bot tersebut dikesan keluar dari Jeti Nelayan di Sungai Belankan dalam keadaan yang amat mencurigakan.

“Menyedari kehadiran Maritim Malaysia, suspek yang mengemudi bot dengan enjin sangkut berkuasa 60 kuasa kuda cuba memecut untuk melarikan diri tetapi berjaya dipintas selepas 15 minit dikejar,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Maritim Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua suspek, bungkusan da­dah serta bot terbabit ditahan dan dibawa ke Ibu pejabat Ma­ritim Selangor untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.