Mohd. Izhar Jalil, 34, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan pertama dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa telah mencederakan lima saudaranya iaitu Muhammad Fitri Noorisham, 17; Mohd. Abdul Shukor, 35; Mohd. Jani Rahim, 50; Sibedah Baba, 57, dan Abdul Rahman Jamaludin, 65, dengan cara memukul menggunakan tangan dan kaki. 

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Taman Pasir Puteh Bachang, Batu Berendam di sini pada pukul 5.30 petang pada 19 Jun 2017.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun dan boleh dikenakan denda sebanyak RM2,000, jika sabit kesalahan.

Difahamkan sebelum kejadian berlaku perselisihan faham antara tertuduh dengan ahli keluarganya itu berpunca daripada isu laluan letak kenderaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Lyiana Zainal Abidin mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 manakala Mohd. Izhar yang tidak diwakili peguam merayu jumlah itu dikurangkan dengan alasan terpaksa menanggung seorang isteri serta tiga anak.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000. 

Sementara itu dalam prosiding berlainan, tertuduh mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Mohd. Firdaus Saleh atas pertuduhan mencederakan sepupunya, Maliki Abdul Rahman, 19, dengan cara memukul mangsa menggunakan sebatang kayu mop pada waktu, tempat dan tarikh sama. 

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana daripada dua hukuman tersebut.

Tertuduh bagaimanapun dibenarkan diikat jamin sebanyak RM3,000 dan mahkamah menetapkan 21 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kedua-dua kes.  - UTUSAN ONLINE