Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, mayat dengan kesan terbakar hampir di keseluruhan badan itu dijumpai pemilik kebun tersebut pada pukul 9 pagi.

Katanya, keadaan mayat itu yang rentung antara 85 hingga 90 peratus menyukarkan pihak polis mengenal pasti jantina dan identiti mangsa.

"Setakat ini jantina dan identiti mangsa masih belum dikenal pasti. Tiada barang ditemukan di lokasi kejadian untuk dikaitkan dengan penemuan mayat mangsa.

"Siasatan lanjut akan dijalankan termasuk menyemak rekod laporan membabitkan orang hilang," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini.

Tambah beliau, pihaknya bagaimanapun tidak menolak kemungkinan mayat terbabit merupakan mangsa bunuh.

"Siasatan akan dijalankan bagi mengetahui sama ada mangsa dibunuh di tempat lain sebelum dibuang di lokasi mayatnya dijumpai," katanya.

Sementara itu, pemilik kebun Wong Keng Suew, 48, berkata, dia segera mendapatkan bantuan dengan menghubungi polis setelah mendapati terdapat mayat rentung dalam kebun kelapa sawitnya.

Katanya, ketika dijumpai, terdapat asap pada bahagian kepala mangsa.

"Saya sangat terkejut dan takut. Saya lihat mayat itu sudah terbakar dan ada sedikit asap pada bahagian kepalanya," katanya. - UTUSAN ONLINE