Itu permulaan kisah sedih Nur Aisyah Aleya Abdullah, 3, sebelum mayatnya ditemukan dalam keadaan menyayat hati di Gunung Raya, di sini selepas dilaporkan hilang akhir bulan lalu.

Mayat kanak-kanak itu ditemukan pada pukul 11.30 pagi ini hasil soal siasat selepas polis menahan kekasih ibunya dan isteri lelaki terbabit di sebuah inap desa di Ampang, Selangor, pukul 4.30 petang semalam.

Siasatan awal percaya, mang­sa dipercayai mati kira-kira tiga minggu lalu di Kuarters Hospital Langkawi sebelum mayatnya dibuang di bawah sebatang pokok berhampiran gaung me­nuju ke puncak gunung tersebut.

Lebih tragis, polis hanya menemukan bahagian tengkorak kepala mangsa yang memiliki cebisan rambut manakala anggota badan lain tidak ditemukan di lokasi kejadian. Kematian Nur Aisyah Aleya kemudiannya diklasifikasikan sebagai kes bunuh.

Ketua Polis daerah, Superintenden Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati, ibu mangsa dan suspek sebenarnya telah berkenalan dan menjalin hubungan sulit pada awal November 2018 semasa lelaki itu bekerja di Pulau Pinang sebagai pemandu orang kenamaan.

Menurutnya, selepas suspek berhenti kerja, ibunya membawa mangsa pergi ke rumah suspek dan isterinya di Kuarters Hospital Langkawi pada akhir November lalu dengan berpura-pura menjadi kenalan lelaki itu serta ingin menumpang sementara kerana bekerja di sebuah kedai makan di Jalan Padang Matsirat.

“Bagaimanapun pada peng­hujung Januari lalu, hubu­ngan sulit mereka terbongkar menyebabkan isteri suspek menghalau ibu mangsa, wanita itu kemudian dihantar ke tempat kerjanya di Jalan Padang Matsirat namun mangsa tidak diserahkan sekali.

“Pada penghujung bulan lalu, ibu mangsa pergi ke rumah suspek namun diberitahu anaknya telah diserahkan kepada orang lain. Wanita itu kemudian membuat laporan polis dan usaha menjejak mangsa bermula sehinggalah tangkapan suspek serta isterinya dibuat dan mayat mangsa ditemukan,” katanya.

Mohd. Iqbal Ibrahim memberitahu, soal siasat mendapati, semasa kejadian suspek berusia 37 tahun itu dipercayai berang dengan mangsa yang menangis serta kononnya diserang sawan.

“Suspek dipercayai ada menepuk-nepuk belakang badan mangsa sebelum kanak-kanak itu muntah serta disedari tidak bernyawa kira-kira dua jam kemudian.

“Kerana dipercayai panik, suspek menyumbat mayat mang­sa ke dalam beg pakaian lalu membuangnya di Gunung Raya. Isteri suspek berusia 40 tahun yang juga seorang jururawat turut berada di kediaman mereka ketika kejadian,” katanya.

Tambah Mohd. Iqbal, pasa­ngan suami isteri itu yang dipercayai cuba bersembunyi, ditahan di sebuah inap desa di Ampang, Selangor semalam dan pihaknya akan mendapatkan perintah reman terhadap mereka esok untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Ke­seksaan kerana membunuh.