Ketua Bahagian Perhubungan Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn. Bhd. (Sains), Norzita Ismail berkata, pihaknya perlu membersihkan kolam penyimpanan air bersih tersebut sebelum air dapat dibekalkan semula kepada pengguna.

“Kami bertindak menutup operasi kolam penyimpanan air itu pada pukul 8 malam semalam sejurus menerima maklumat ada mayat dalam kolam itu.

“Kami perlu melakukan proses mengeluarkan air dan mencucinya beberapa kali dan kerja-kerja pembersihan dijangka siap malam ini,” katanya di sini hari ini.

Norzita berkata, kejadian itu dalam siasatan pihak polis, namun Sains menegaskan kolam simpanan air kendalian Sains adalah kawasan larangan dan berkunci.

Sementara itu, sumber Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan memberitahu, operasi mengeluarkan mayat tersebut telah dilakukan pada pukul 11.26 pagi ini.

Katanya, seramai 10 pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Sri Jempol terlibat dalam operasi mengeluarkan mayat lelaki dipercayai berusia lingkungan 20-an. - UTUSAN ONLINE