SEORANG wanita ditemukan mati dalam keadaan separuh bogel di bawah jejantas Jalan Raja Nong, Klang, semalam.

Mayat wanita warga tempatan yang dipercayai berstatus ibu tunggal anak dua itu ditemukan oleh orang awam yang melalui kawasan berkenaan kira-kira pukul 7.41 pagi sebelum memaklumkan kepada pihak polis.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pemeriksaan unit forensik mendapati mangsa ditemukan dalam keadaan menyayat hati dengan seluar pendek serta seluar dalamnya ditanggalkan sehingga ke paras buku lali kaki kiri.

“Hasil semakan cap jari mendapati mangsa ialah rakyat tempatan berumur 37 tahun. Mangsa turut mengalami kesan lebam di mata kanan, selain terdapat kesan benjol pada dahi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Shamsul Amar memberitahu, pihaknya per­caya mangsa dibunuh di lo­kasi lain sebelum dibuang di bawah jejantas itu.

“Ini berdasarkan tiada pene­muan bukti-bukti lain yang mem­bantu siasatan di lokasi pe­nemuan mayat.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” jelasnya.

Tambahnya lagi, mangsa sebelum ini pernah ditahan berkaitan dengan kes penyalahgunaan dadah dan pernah tinggal di Kuala Kangsar, Perak.