Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu Shuhamly Suhaimi, 36, ditemukan dalam keadaan terlentang di katil oleh pekerja di penginapan tersebut yang ingin membersihkan bilik berkenaan.

Ketua Polis daerah, Deputi Superintenden Mohd. Farhan Lee Abdullah berkata, pasukan polis bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat berhubung penemuan mayat tersebut.

“Hasil pemeriksaan menemukan mayat seorang lelaki dalam keadaan terlentang dan disahkan sudah meninggal dunia oleh pasukan paramedik dari Hospital Ranau.

“Bagaimanapun tiada kesan pencerobohan atau pergaduhan berlaku dan barangan milik mangsa juga berada dalam keadaan baik,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd. Farhan Lee menambah, mangsa yang bekerja sebagai guru di sebuah sekolah rendah di Tongod, Kinabatangan, dekat sini telah mendaftar masuk di penginapan terbabit pada Sabtu lalu dan dikatakan tidak pernah keluar dari bilik sewa berkenaan.

“Kes masih dalam siasatan dan mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Ranau untuk bedah siasat.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE