Mayat dipercayai baru dilahirkan itu ditemukan susulan siasatan yang dilakukan ke atas seorang remaja perempuan yang mendapatkan rawatan di Hospital Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintenden Zailani Mohd. Yusof berkata, remaja berusia 19 tahun yang baru melahirkan bayinya itu menerima rawatan di hospital tersebut selepas mengadu sakit.

“Pegawai perubatan yang merawat suspek kemudian memaklumkan perkara itu kepada pihak polis pada pukul 5.50 petang hari yang sama sebelum siasatan dilakukan.

“Hasil soal siasat yang dilakukan, remaja terbabit mengaku mengandung anak luar nikah hasil hubungan dengan teman lelakinya yang juga berusia 19 tahun,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambah Zailani, suspek mengaku bersalin pada pukul 1.45 pagi semalam di asrama sebuah kilang tempat dia bekerja di Seberang Perai, Pulau Pinang.

Katanya, remaja perempuan itu mendakwa bayi tersebut meninggal dunia ketika dilahirkan sebelum bertindak menghubungi teman lelakinya untuk mendapatkan bantuan.

“Pasangan kekasih itu membawa mayat bayi tersebut dengan menaiki motosikal ke Kampung Limau Manis sebelum menanamnya,” katanya.

Ujar beliau lagi, suspek lelaki yang ditahan menujukkan lokasi mayat bayi ditanam sebelum proses menggali kawasan tersebut dijalankan pasukan forensik Jabatan Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.

“Remaja perempuan masih menerima rawatan di hospital sementara teman lelakinya yang tidak bekerja ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran,” katanya. - UTUSAN ONLINE