Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, bedah siasat yang dilakukan juga tiada menemukan kesan kecederaan pada anggota badan Wan Baharul Nizam Wan Bakar, 35,

Bagaimanapun menurut beliau, seperti yang dimaklumkan semalam, hasil bedah siasat pasangan lelaki itu, Norwahidah Abdul Hamid, 28, mendapati punca kematiannya disebabkan hentakan benda keras dan tumpul di kepala.

“Siasatan awal mendapati pasangan itu masih belum berkahwin dan merancang majlis perkahwinan mereka pada 1 Februari ini. Menurut jiran, mereka telah tinggal di rumah tersebut sejak enam bulan lepas. 

“Mangsa lelaki merupakan seorang duda yang mempunyai tiga anak dan telah berpisah dengan isteri pertamanya pada tahun 2017. Bagaimanapun siasatan masih lagi dijalankan,” katanya.

Media hari ini melaporkan, kes kematian lelaki dan wanita itu diklasifikasikan sebagai kes bunuh kerana laporan awal bedah siasat terhadap mayat Norwahidah mendapati ada unsur jenayah apabila terdapat kesan kecederaan akibat hentakan benda keras di kepala.

Kedua-dua mangsa maut dalam kebakaran pada pukul 1.13 petang pada Isnin lalu dengan Norwahidah ditemukan di atas katil sebuah bilik manakala, Wan Baharul Nizam berada di dalam bilik air.

Jenazah kedua-dua mangsa yang merupakan kakitangan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya itu dibawa ke Hospital Serdang untuk tindakan lanjut.

Tambah Fadzil, polis juga sedang dalam proses merekod keterangan beberapa individu di tempat kejadian bagi membantu siasatan.- UTUSAN ONLINE