Mayat Siti Masitah Ibrahim yang berketurunan Kemboja ditemukan kira-kira pukul 4 petang semalam oleh penduduk kampung yang memburu ayam hutan di kawasan itu dan me­laporkan kepada polis.

Difahamkan, mayat mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sempurna dengan kepalanya terpisah dari badan, tidak berseluar, tangan dikatakan diikat dan organ dalaman dipercayai hilang.

Walau bagaimanapun, polis masih menjalankan siasatan dan menunggu keputusan bedah siasat untuk mengetahui punca sebenar kematian.

Ibu mangsa Solihah Abdullah, 35, berkata, walaupun keada­an mayat sukar dikenal pasti namun dia yakin itu adalah Siti Masitah berdasarkan baju yang dipakainya.

“Saya cam baju biru pada mayat itu kerana baru seminggu membelinya untuk Siti Masitah. Saya juga lihat tangannya diikat selain organ dalamannya tiada, namun tidak pasti puncanya kerana sudah 11 hari dia hilang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Medang Hilir di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah ne­geri, Datuk Othman Nayan memberitahu, mayat itu ditemukan dalam keadaan tertiarap.

Ujarnya, identiti mayat tidak dapat dikenal pasti dan dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan untuk bedah siasat.

“Setakat ini kami mengklasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut. Siasatan akan diteruskan selepas keputusan bedah siasat diperoleh,” katanya.