Penguatkuasaan yang dilakukan dengan kerjasama Jabatan Laut (Pejabat Laut Kuala Kedah) itu adalah bertujuan untuk memastikan tahap keselamatan para penumpang selain pada masa sama memastikan pematuhan undang-undang di laut.

Timbalan Pengarah Zon (Operasi) Maritim Kuala Kedah, Leftenen Maritim Hairil Izhar Noraazmi berkata, pemeriksaan tidak hanya tertumpu kepada feri yang bergerak keluar daripada Pulau Langkawi, sebaliknya feri yang berlepas dari terminal di sini.

“Beberapa ketidakpatuhan kepada aspek keselamatan iaitu Sijil Kompitensi feri dan juga kapten feri yang hampir tamat tempoh telah dikesan dan amaran keras dikeluarkan terhadap pengusaha-pengusaha feri.

“Pihak Jabatan Laut juga telah melakukan latihan kebakaran terhadap feri bagi menilai tahap kecekapan petugas feri dalam berhadapan dengan sebarang bentuk kecemasan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Hairil Izhar, pemantauan dan pemeriksaan feri-feri penumpang akan sentiasa dilakukan dari semasa ke semasa.

“Pihak Maritim Malaysia sentiasa bersedia dalam memastikan tiada sebarang pelanggaran prosedur keselamatan dan undang-undang bagi menjamin kelancaran dan keselamatan pengguna feri,” katanya.

Tambah beliau, sebarang kegiatan jenayah atau kecemasan di laut boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579. - UTUSAN ONLINE