Dalam kejadian pukul 11 malam itu, kesemua PATI lelaki itu termasuk dua tekong yang berusia antara 19 hingga 47 tahun ditahan oleh sepasukan anggota penguat kuasa yang menjalankan rondaan di perairan itu.

Pengarah Maritim Malaysia Melaka/Negeri Sembilan, Kepten Maritim Amran Daud berkata, anggota penguat kuasa terbabit yang sedang menjalankan rutin operasi harian dan hasil maklumat risikan dimaklumkan mengenai pergerakan masuk bot yang mencurigakan dari Indonesia menuju ke perairan Kuala Sungai Baru.

“Dalam rondaan kira-kira pukul 10.30 malam, bot peronda Maritim Malaysia mengesan dan menahan sebuah bot kayu tanpa nombor pendaftaran menggunakan dua enjin sangkut 15 kuasa kuda pada kedudukan kira-kira 0.9 batu nautika barat muara Kuala Sungai Baru.

“Pemeriksaan lanjut mendapati tujuh lelaki termasuk dua tekong berada dalam bot kesemuanya warga Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Bot bawa PATI
BOT kayu yang dinaiki tujuh pendatang asing tanpa izin warga Indonesia selepas ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Melaka/Negeri Sembilan ketika cuba menyeludup keluar menggunakan laluan tidak diwartakan di perairan Kuala Sungai Baru di Melaka, malam tadi. - UTUSAN ONLINE/Ihsan Maritim Malaysia

Amran berkata, berdasarkan siasatan awal, pihaknya percaya bot yang ditahan itu menjalankan aktiviti penyeludupan keluar masuk PATI melalui jalan yang tidak sah dipercayai menuju ke Pulau Rupat, Indonesia dan kegiatan itu didalangi sindiket warga tempatan dan juga asing yang sudah lama menetap di negara ini.

Katanya, kesemua yang ditahan akan disiasat mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) dan Akta Imigresen 1959/63, manakala bot yang dinaiki telah dibawa ke jeti Maritim Malaysia di sini untuk siasatan lanjut. - UTUSAN ONLINE