Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Seri Zulkifli Abu Bakar berkata, ganja itu adalah hasil rampasan dua kes di perairan Kuala Perlis, Perlis dan perairan Pulau Cupu di Langkawi, Kedah masing-masing pada Mei 2010 dan Jun 2017.

Menurut beliau, rampasan pada 24 Mei 2010 di kawasan 3.7 batu nautika dari pantai Kuala Perlis membabitkan 235 ketulan mampat daun kering ganja seberat 235kg dengan anggaran nilai RM705,000.

“Rampasan kedua pada 3 Jun tahun lalu di Langkawi selepas anggota penguat kuasa Maritim Malaysia mengesan plastik hitam terapung mengandungi 629 ketulan mampat ganja seberat 629kg bernilai RM1.8 juta dipercayai ditinggalkan penyeludup,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa majlis pelupusan 864kg ganja di Pusat Kualiti Alam di Bukit Pelanduk di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Jabatan Alam Sekitar negeri, Norhazni Mat Sari dan Pengarah Urusan Kumpulan Cenviro Sdn. Bhd., Khalid Bahsoon.

Zulkifli berkata, pelupusan dadah tersebut menggunakan kaedah pembakaran selamat dan mesra alam serta merupakan kaedah terkawal dengan pembakaran menggunakan inkubator. - UTUSAN ONLINE