Pengarah MAQIS Negeri Selangor, Dr. Tarmisal Alimin berkata, pokok strawberi berkenaan atau nama saintifiknya Fragaria Ananassa, dirampas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) kerana dibawa masuk tanpa sebarang dokumen yang sah seperti permit import dan sijil fitosanitasi.

Jelasnya, berdasarkan pemeriksaan pada mesin imbasan yang dilakukan di laluan ketibaan pada pukul 7 pagi Ahad lalu, sebanyak 480 anak pokok seberat 16 kilogram dengan anggaran mencecah RM5,000 telah dirampas.

“Tujuan tumbuhan ini dibawa masuk ke Malaysia dipercayai untuk ditanam di Cameron Highlands, Pahang.

“Perbuatan mengimport tanpa mempunyai suatu permit yang sah daripada MAQIS adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11 (1), Akta Perkhidmatan Kuarantin & Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11 (3), akta yang sama.

“Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tarmisal berkata, MAQIS akan sentiasa bertindak tegas, cekap dan teliti dalam menjalankan aktiviti penguatkuasaan di semua pintu masuk di seluruh Malaysia.

“Langkah ini bagi menjamin keselamatan pertanian dan makanan negara terjamin,” katanya. - UTUSAN ONLINE