Pengarah MAQIS Selangor, Dr. Tarmisal Alimin berkata, rampasan dibuat kira-kira pukul 2 pagi kelmarin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA 2).

Beliau berkata, pegawai penguatkuasa MAQIS telah memeriksa empat bagasi yang dibawa oleh warganegara India dan mendapati sebanyak 45 kg. bulu ekor burung merak dianggarkan bernilai ribuan ringgit.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati bulu ekor burung merak yang dibawa oleh penumpang tersebut tidak mempunyai Import Permit daripada Jabatan MAQIS, Sijil Kesihatan dan Sijil CITES dari negara asal.

“Bulu ekor burung merak tersebut merupakan barangan terkawal di bawah Konvensyen Perdagangan Antarabangsa dalam Spesis Terancam Fauna dan Flora Liar (CITES) bertujuan mencegah penurunan spesis terancam atau berpotensi terancam dengan kepupusan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

BULU ekor burung merak yang dirampas MAQIS di KLIA2, Sepang, kelmarin. - UTUSAN ONLINE /Ihsan MAQIS
BULU ekor burung merak yang dirampas MAQIS di KLIA2, Sepang, kelmarin. - UTUSAN ONLINE /Ihsan MAQIS

Tarmisal berkata, perbuatan mengimport tanpa mempunyai suatu permit yang sah daripada MAQIS adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) akta sama.

Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

“Akta 728 ini diguna pakai bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan mematuhi aspek kesihatan manusia serta dapat mengawal kemasukan penyakit merbahaya yang boleh mengancam industri pertanian, perikanan dan haiwan, “ jelasnya. - UTUSAN ONLINE