Pengarah MAQIS Kedah, Lily Rosalind a/p Paul Pakianathan berkata rampasan itu susulan pemeriksaan ke atas sebuah lori yang membawa produk sosej babi dari Thailand tanpa sebarang dokumen yang sah.

“Peraturan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Akta 728) mewajibkan semua orang yang membawa barangan di bawah kawalan MAQIS memerlukan permit demi mengelakkan kemasukan produk babi dari negara yang berpenyakit dan penyebaran wabak ‘African Swine Fever’.

“Semua produk yang dirampas itu akan ditahan manakala kompaun di bawah Peraturan-Peraturan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Perkompaunan Kesalahan) 2019 akan dikenakan terhadap syarikat pengimport kerana gagal mematuhi peraturan import,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata perbuatan mengimport produk babi tanpa permit sah daripada MAQIS adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah seksyen 11(3), Akta yang sama.

“Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 6 tahun atau kedua-duanya sekali.

“Akta 728 itu digunapakai demi memastikan kawalan penyakit haiwan mematuhi aspek kesihatan manusia, sekali gus mengawal kemasukan perosak berbahaya yang mampu mengancam industri pertanian negara dan boleh menyebabkan kerajaan menanggung kerugian yang tinggi,” katanya. - BERNAMA