Pengarah Maqis negeri, Zarina Ramli berkata, rampasan itu dibuat ketika pemeriksaan dilakukan pihaknya kira-kira pukul 10.54 pagi terhadap barangan yang dibawa masuk dari luar negara di pelabuhan tersebut.

Ujarnya, bahan atau medium untuk akuarium ikan hiasan jenis Aquaforest Life Bio Fill dan Aquaforest Substrate seberat 1,005 kilogram (kg) yang dibawa dari Poland itu dirampas kerana didapati tidak mempunyai permit import (IP).

"Nilai rampasan itu dianggarkan RM8,602.92 dan kita telah mengeluarkan kompaun setelah mendapat kebenaran Timbalan Pendakwa Raya serta peringatan kepada individu tersebut atas kesalahan mengimport tanpa suatu dokumen yang sah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Zarina, Maqis negeri akan mempertingkatkan kawalan serta menumpukan perhatian terhadap kes penyeludupan dalam negara ini dan mengekang ketidakpatuhan aktiviti import dan eksport.

Tambahnya, usaha itu bagi memastikan undang-undang negara dipatuhi seterusnya menjamin keselamatan makanan negara. - UTUSAN ONLINE