Insan kesayangan berusia 35 tahun itu ditahan bersama dua orang rakan wanita berkenaan yang turut positif dadah jenis syabu dalam serbuan kira-kira pukul 5 petang itu.

Pengarah AADK negeri, Azizah Ahmad berkata, wanita terbabit terjebak dengan dadah sejak beberapa bulan lalu selepas berkawan dengan dua rakannya yang berstatus ibu tunggal.

“Mereka (rakan) mengajar wanita itu menghisap dadah tanpa pengetahuan suaminya. Perkara itu terbongkar

selepas kami ke rumahnya untuk menjalankan pemeriksaan urin ke atas isteri dan dua ibu tunggal terbabit.

“Ujian air kencing ke atas mereka mendapati ketiga-tiga wanita itu positif dadah jenis syabu,” katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Azizah berkata, pihaknya turut menahan enam lelaki dan empat wanita dalam operasi sama yang dijalankan di beberapa kawasan di Simpang Empat, Kangar dan Arau.

“Antaranya di Kampung Chemumar, Arau, apabila kita menahan seorang wanita lain berusia 37 tahun berstatus isteri orang bersama kenalan lelakinya di sebuah rumah.

“Mereka menjadikan rumah terbabit sebagai lokasi melepaskan gian menghisap dadah dan ketika serbuan, mereka dipercayai baru selesai menghisap dadah.

“Suami wanita terbabit yang juga seorang penagih sudah ditahan dalam operasi sebelum ini. Kesemua mereka ditahan reman dan disiasat di bawah Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983 pindaan 1998 sebelum dihantar ke pusat pemulihan yang sudah ditetapkan,” katanya.- UTUSAN ONLINE