Namun, itulah hakikat yang terpaksa ditanggung seorang ibu tunggal berusia 60-an dari Kampung Syed Omar di sini apabila tujuh anaknya termasuk tiga wanita terlibat dengan najis dadah.

Lebih menyedihkan, warga emas itu sudah tidak mampu mengawal anak-anaknya yang berusia antara 17 dan 30 tahun yang menjadikan sebuah bilik di rumah mereka sebagai lokasi melepaskan gian menghisap dadah.

Hasil risikan, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang melakukan operasi bersama Agensi Kawalan Sempadan (Aksem) pada Isnin lalu, telah menyerbu rumah berkenaan dan menahan empat lelaki manakala tiga saudara wanita mereka pula pernah ditahan agensi yang sama Oktober lalu.

Ketika anak-anaknya ditahan, warga emas tersebut hanya mampu menangis.

Pengarah AADK negeri, Azizah Ahmad berkata, hasil ujian air kencing didapati empat beradik itu positif dadah jenis methamphetamine.

“Siasatan awal mendapati mereka telah menagih dadah lebih setahun. Hasil pendapatan mereka yang mendapat upah melakukan kerja-kerja kampung dihabiskan untuk membeli dadah,” katanya dalam satu kenya­taan di sini hari ini.

Tambah Azizah, ada dalam kalangan adik beradik berkenaan sudah beberapa kali ditahan dan diletakkan di bawah pengawasan AADK dan polis, namun masih mengulangi perbuatan sama.

“Kesemua mereka telah dibawa ke pejabat AADK Perlis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Dalam kes berasingan, Azizah memberitahu, seramai 12 lelaki berusia 17 hingga 50 tahun ditahan kerana positif syabu dan morfin.