Ini berikutan terdapat lima orang telah ditipu oleh skim pelaburan saham tidak wujud yang dianjurkan oleh sebuah syarikat herba Cina, membabitkan kerugian RM780,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, Superintenden Annuar Amri Abd. Muluf berkata, kesemua kes yang diterima melibatkan mangsa dari Kulim sejak Januari lalu sehingga kini.

Kata beliau, mangsa yang terlibat merupakan pekerja kilang, jurusolek dan pesara swasta serta berusia antara 48 hingga 71 tahun.

“Kerugian paling banyak adalah melibatkan seorang mangsa yang telah melabur sebanyak RM200,000 tanpa pulangan manakala pelaburan minimum pula sebanyak RM60,000.

“Berdasarkan siasatan, syarikat ini yang didaftarkan di Kuala Lumpur dan beroperasi di Pulau Pinang, menawarkan skim pelaburan saham sejak 2018 beserta pulangan.

“Selain itu, mangsa juga ditawarkan jawatan sebagai perunding untuk produk-produk syarikat tersebut serta dijanjikan bayaran sebanyak RM6000 sebulan,” katanya dalam satu kenyataan.

Annuar Amri seterusnya berkata, sehubungan itu, pihak polis kini telah membuka satu kertas siasatan berkenaan dengan penipuan pelaburan ini di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Pihak polis ingin menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang deposit atau pelaburan dengan individu atau entiti yang tidak dikawal selia di bawah Bank Negara Malaysia (BNM).

“Mereka juga perlu membuat semakan dengan pihak berkuasa yang berkaitan sekiranya meragui sebarang skim yang ditawarkan,” katanya.

Tambah beliau, jika masih ragu-ragu, orang ramai dinasihatkan untuk merujuk kepada Investor Alert dan maklumat mengenai tindakan penguatkuasaan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM). - UTUSAN ONLINE