Dalam serbuan itu, seramai enam lelaki tempatan berusia antara 25 hingga 45 tahun, termasuk seorang daripadanya berketurunan Siam diberkas.

Ketua Polis daerah, Pemangku Superintenden Muhamad Halim Yatim berkata, polis turut merampas sebanyak 414 liter air daun ketum bernilai RM2,000; 38 kilogram daun ketum (RM1,100) dan 19.9 liter ubat batuk (RM1,900).

Katanya, lokasi-lokasi serbuan itu ialah di Kampung (Kg.) Guar Musang, Panggas; Kg. Kolam, Batu 20, Kg. Tersusun dan Kg. Titi Tapang di sini.

“Secara keseluruhan di lima lokasi ini yang beroperasi di belakang rumah sejak antara dua hingga tiga bulan lalu, mampu membekalkan kepada 500 pengguna di sekitarnya setiap hari.

“Dianggarkan pemilik-pemiliknya mengaut keuntungan lumayan sebanyak RM500 sehari iaitu RM5 bagi setiap bungkus ‘cakoroi’ (air daun ketum yang diproses bersama ubat batuk),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bagi mengumumkan kejayaan operasi Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ibu pejabat Polis Daerah Padang Besar di sini hari ini.

Menurut Muhamad Halim, kesemua suspek direman selama empat hari daripada tarikh tangkapan untuk siasatan mengikut Akta Racun 1952 dan akan dituduh di mahkamah dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, sepanjang tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, pihaknya telah merampas sebanyak 34 tan daun ketum diikuti 830 liter air ketum dan menahan seramai 104 orang.

“Kita turut menyita sembilan buah motosikal, 13 buah kereta dan dua buah trak pikap. Kesemua rampasan dianggarkan bernilai kira-kira RM1.3 juta,” katanya. - UTUSAN ONLINE