Ketua Polis daerah Superintenden Muhd. Nur Hishamuddin Hashim berkata, mangsa yang juga pengawal keselamatan di premis itu sedang tidur di dalam keretanya sebelum kejadian itu.

"Mangsa tersedar daripada tidur apabila tingkap keretanya di bahagian pemandu dipecahkan oleh suspek yang berpakaian gelap, bertopeng dan bersarung tangan.

"Lelaki itu ditarik keluar dari kenderaannya sebelum dimasukkan ke dalam sebuah bilik dan diikat di bahagian tangan," katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Muhd. Nur Hishamuddin berkata, mangsa kemudian terdengar bunyi mesin 'grinder' yang dipercayai digunakan oleh penjenayah terbabit untuk menebuk peti besi di stesen minyak itu.

Menurut beliau, kesemua suspek beredar dari premis itu kira-kira setengah jam kemudian dan melarikan wang tunai RM17,000.

"Suspek tidak menggunakan senjata dan mangsa juga tidak dipukul oleh suspek. Kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan," katanya. - UTUSAN ONLINE