Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Hamzah Ahmad berkata, tangkapan itu dibuat ketika polis melakukan sekatan jalan raya di lokasi terbabit kira-kira pada pukul 11.30 malam dan menahan sebuah pacuan empat roda yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati sebanyak tujuh lelaki berada dalam kenderaan tersebut termasuk pemandu yang berusia antara 23 dan 27 tahun.

“Hasil siasatan ke atas semua penumpang mendapati, lima daripadanya tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan pemeriksaan itu juga menemukan beberapa buah beg berisi pakaian yang dipercayai milik PATI tersebut.

“Siasatan lanjut juga mendapati kesemua suspek dalam perjalanan dari Estate Kalabakan, Tawau dekat sini menuju ke Ladang Serimau Kalabakan untuk bekerja di sana,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Hamzah menambah, kesemua suspek ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis daerah di sini untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM),” jelasnya. - UTUSAN ONLINE