Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, penahanan suspek-suspek terbabit yang merangkumi dua orang anggota sindiket warga asing merupakan lanjutan kepada penahanan dua orang kakitangan jabatan tersebut kelmarin.

Beliau memberitahu, penahanan berkenaan dilakukan Jabatan Imigresen dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Ra­suah Malaysia (SPRM).

“Mereka yang menjejaskan imej Jabatan Imigresen apabila bersekongkol dengan sindiket luar akan dibanteras sepenuh­nya,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) hari ini.

Media baru-baru ini melapor­kan kewujudan sindiket yang merasuah kakitangan Jabatan Imigresen di KLIA antara RM15,000 hingga RM20,000 setiap seorang untuk menjalankan aktiviti penyeludupan buruh haram warga Bangladesh ke negara ini.

Ahmad Zahid merakamkan penghargaan kepada Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali yang menitikberatkan soal pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan kakitangan jabatan berkenaan selain memantau dengan dekat soal penguatkuasaan.

Katanya lagi, langkah proaktif juga telah diambil sebelum ini dengan memindahkan 40 peratus daripada kira-kira 1,500 orang kakitangan Jabatan Imigresen di KLIA dengan kakita­ngan dari pejabat-pejabat lain jabatan itu.

“Kita berharap apa yang dilakukan Ketua Pengarah Imigresen dapat memberikan suatu gambaran bahawa kerajaan cukup serius dalam menangani semua permasalahan yang berlaku,” katanya.

Menurutnya lagi, keputusan kerajaan untuk meletakkan bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu bagi menerajui Jabatan Imigresen merupakan keputusan tepat untuk menyelesaikan isu-isu yang berbangkit dalam jabatan tersebut.