Mangsa pada mulanya menerima panggilan daripada seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai pegawai mahkamah dan memberitahu dia perlu menghadiri perbicaraan di Mahkamah Kangar, Perlis bagi kes langgar lari.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, akibat percaya setelah dimaklumkan terlibat dengan kes langgar lari dan penyeludupan wang haram sebanyak RM2.6 juta, pengadu telah membuat transaksi kononnya untuk meminda tarikh perbicaraan.

”Terkejut dan terlalu takut menerima maklumat itu, mangsa tanpa berfikir panjang terus membuat pindahan wang dari akaun simpanan miliknya ke akaun bank yang diberikan seperti yang diarahkan selain turut ditunjukkan waran tangkapan terhadapnya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Norzainy berkata, mangsa melakukan sebanyak dua transaksi pindahan wang ke dua akaun bank berlainan dalam sehari melibatkan wang keseluruhan RM7,000.

Kata beliau, mangsa kemudiannya diminta untuk membuat pembayaran tambahan namun enggan setelah diberitahu panggilan itu adalah sindiket ‘scammer’ sebelum membuat laporan polis.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat serta tipu helah sindiket.

“Jangan sesekali mudah panik dan mengikut arahan yang diberikan oleh pemanggil yang tidak dikenali sebaliknya hubungi pihak polis atau organisasi yang terlibat untuk sebarang pengesahan,” jelasnya.

Selain itu, beliau juga mengingatkan orang ramai supaya tidak mendedahkan maklumat peribadi seperti nombor akaun bank, kad ATM atau kad kredit kepada individu yang tidak dikenali.

“Kes berkenaan kini dalam siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya. - UTUSAN ONLINE