Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, lelaki berusia 35 tahun itu ditahan semalam dan pihaknya turut merampas telefon bimbit bersama lelaki terbabit.

Katanya, siasatan kes berkenaan dijalankan di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana membuat ugutan bunuh melalui aplikasi pesanan dalam kumpulan.

"Suspek telah ditangkap semalam dan pihak polis mendapat perintah tahanan reman selama empat hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut.

"Siasatan kes ini akan dijalankan secara telus dan adil supaya tidak berlaku sebarang tindakan yang boleh menyemarakkan kemarahan mana-mana pihak ekoran kejadian itu," katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurut beliau, semua pihak terutama yang menjadi pentadbir kumpulan aplikasi pesanan dinasihatkan supaya mematuhi garis panduan yang telah dikeluarkan berkaitan maklumat yang dikongsi.

"Garis panduan telah dikeluarkan berkaitan dengan apa yang patut dan tidak patut dilakukan agar dalam kalangan ahli tidak melakukan kesalahan jenayah sehingga menggugat keselamatan dan ketenteraman negara," katanya.

Howard Lee yang merupakan Pengerusi Jawatakuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri mendedahkan beliau menerima dua ugutan bunuh melalui media sosial kelmarin dan hari ini.

Menurut beliau, ugutan pertama diterimanya melalui tangkap layar satu kumpulan WhatsApp pada Ahad lalu dan yang terbaharu hari ini melalui akaun Instagram.-UTUSAN ONLINE