Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sha­harudin Abdullah berkata, suspek dikesan melalui telefon bimbit seorang rakannya dan telah dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi kira-kira pukul 12 tengah malam bagi diambil keterangan.

“Suspek akan dituduh esok dan dalam rakaman percakapan yang dilakukan, suspek menga­ku menumbuk mangsa di bahagian hidung kerana berebut giliran untuk mendapatkan kasut yang ditawar syarikat kasut berjenama edisi khas tersebut.

“Selain itu, suspek juga didapati mempunyai satu rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan bersabit laporan KLIA Sepang/10163/15,” katanya di sini hari ini.

Menurut Shaharudin, pihak­nya turut melakukan ujian air kencing terhadap suspek dan hasil yang diperoleh negatif.

Ujarnya, satu kawad cam turut dilakukan pada pukul 2 petang ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 323/351 Kanun Keseksaan.

Kejadian pada pukul 6 pagi Sabtu lalu yang menjadi tular di media sosial itu bermula apabila mangsa, Faiz Hariz, 22, didapati menegur suspek yang memotong barisan ketika beratur untuk membeli kasut bernilai RM1,150 di Suria KLCC.

Akibat teguran tersebut, suspek yang datang berkumpulan, berang lalu bertindak menumbuk mangsa sehingga tulang hidung mangsa patah serta lebam mata kirinya.