Dalam serbuan pada pukul 11 pagi itu, pihak polis menjumpai kristal dipercayai syabu seberat 5.72 gram, 2.06 gram ganja dan balang kaca yang telah diubahsuai dipercayai alat menghisap dadah.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Omar Bakhtiar Yaacob berkata, dalam tangkapan itu, pihaknya turut merampas sebuah kereta jenis Honda Civic yang didapati menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati kereta tersebut dipercayai klon apabila nombor casisnya tiada dalam rekod.

“Semasa tangkapan dilakukan, anggota menghadapi kesukaran apabila lelaki terbabit enggan bekerjasama dan ini memaksa kita memecah pintu utama rumahnya.

“Suspek juga bertindak agresif hingga berlakunya pergelutan sebelum berjaya ditahan di dapur rumah, “ katanya dalam sidang akhbar selepas sambutan peringatan Hari Polis ke-212 di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kerain di sini hari ini.

Menurut beliau, pemeriksaan di dalam kereta itu turut menemukan sepucuk pistol tiruan yang diletakkan di ‘arm rest’ kenderaan berkenaan.

“Siasatan mendapati suspek mempunyai 12 rekod lampau bersabit kes dadah dan racun selain ujian air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis methampetamine.

“Suspek direman sehingga Khamis ini untuk siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 39A91) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.-UTUSAN ONLINE