Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, mangsa leaki berusia 22 tahun tersebut didatangi oleh suspek yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis ketika dia menghisap rokok di kawasan tempat letak kereta di hadapan hotel tempatnya bekerja.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Superintendan Mustafa Bidin berkata, suspek kemudiannya meminta mangsa menyerahkan beg kecil yang dipegang pada tangannya dengan asalan untuk diperiksa.

Tambahnya, suspek turut meminta kad pengenalan mangsa sebelum melarikan bersama beg mangsa ketika pemuda itu mahu masuk ke dalam hotel untuk mengambil kad pengenalannya.

"Suspek melarikan beg mangsa yang mengandungi telefon Vivo V5 dan iPhone 7 plus serta power bank yang dianggarkan bernilai RM2,000 dengan menaiki motosikal jenis Yamaha 135LC," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, suspek bagaimanapun berjaya dicekup selepas polis menggunakan aplikasi Find My Phone pada telefon mangsa selepas dia membuat laporan polis.

Tambahnya, ssuspek berusia 51 tahun itu ditahan bersebelahan sebuah rumah di Jalan Bagan Lalang di sini bersama barang yang dilarikan tersebut.

"Polis turut merampas sebuah motosikal Yamaha 135LC yang menggunakan nombor pendaftaran palsu dan pemeriksaan awal mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah dan satu rekod dadah lampau," katanya.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 379 dan 170 Kanun Keseksaan. - UTUSAN ONLINE