Dalam kejadian kira-kira pukul 12.25 tengah malam itu, dua wanita warga asing yang berada di dalam kereta dinaiki suspek tersebut turut ditahan selepas didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, suspek berusia 34 tahun terbabit ditahan sepasukan anggota polis Unit Rondaan Bermotosikal selepas kereta dinaikinya berada dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan terhadap kereta berkenaan, anggota tersebut menemukan sehelai vest menggunakan logo Polis Diraja Malaysia yang tertera perkataan ‘polis’ dengan pangkat Asisten Superintenden bersama dua wanita warga Indonesia berusia 18 dan 22 tahun.

“Lelaki tersebut memperkenalkan dirinya sebagai pegawai kanan polis dari Bukit Aman, namun dia gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri mahupun kad kuasa polis,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Mohamed Mokhsein, semakan terhadap suspek lelaki tersebut mendapati dia tdak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau serta ujian saringan air kencingnya juga negatif.

Ujarnya, suspek ditahan reman bermula semalam hingga esok untuk disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan manakala dua wanita tersebut ditahan reman selama 14 hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 6 (1) (C ) Akta Imigresen. - UTUSAN ONLINE