Mereka yang ditahan pada pukul 8.30 pagi, Rabu lalu itu melibatkan seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki Indonesia yang menaiki kereta jenis BMW 528i di kawasan tersebut.

Hasil pemeriksaan yang dijalankan, polis menemukan dan merampas antaranya sepucuk pistol jenama Glock, 26 butir peluru jenama Luger 9MM, dua kelopak peluru, wang tunai RM18,700, kunci kereta dan kereta jenis BMW528i.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. berkata, kedua-dua lelaki itu ditahan untuk siasatan lanjut dan ujian saringan awal air kencing yang dijalankan mendapati lelaki itu didapati positif dadah jenis Methamphetamine.

"Susulan itu, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) melakukan beberapa siri serbuan dan tangkapan di beberapa lokasi di Iskandar Malaysia dan menahan seramai 10 orang.

"Dalam serbuan tersebut, polis merampas satu peket plastik lutsinar berisi dadah jenis syabu seberat 5.82 gram, satu peket lutsinar berisini tumbuhan kering disyaki ganja seberat 1.59 gram.

"Selain itu, kita merampas 46 ketulan dadah dipercayai jenis syabu seberat 46 kilogram, 25 kotak rokok putih jenama Double Happines, kereta jenis Toyota Vios, Nissan Sentra, Perodua MyVi, sepucuk Revolver .38, 123 butir peluru .38, 35 butir peluru 9MM, 112 biji pil kuda, motosikal jenama Yamaha dan jenis Modenas," katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis (IPK) Johor di sini hari ini.

Katanya, pelbagai jenis dadah itu bernilai RM2.42 juta yang boleh digunakan seramai 42,162 penagih.

Beliau memberitahu, nilai keseluruhan harta yang disita adalah dianggarkan sebanyak RM110,000.

Tambahnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971, Seksyen 8(A) Akta Senjata 1960, Seksyen 39B, Seksyen 39A (1), Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam. - UTUSAN ONLINE