Ketua Polis daerah, Superintenden Muhd. Nur Hishamuddin Hashim berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, lelaki terbabit meletakkan kereta jenis Proton Wira berwarna hitam secara berlapis di hadapan sebuah farmasi di sini.

Katanya, seorang anggota polis yang sedang bertugas dalam Ops Payung di kawasan itu menegur lelaki terbabit dan memintanya mengalihkan kenderaan kerana mengganggu lalu lintas.

“Bagaimanapun dia tidak mengendahkan arahan tersebut menyebabkan anggota polis itu mengeluarkan saman terhadapnya. Lelaki terbabit yang tidak berpuas hati telah mengeluarkan perkataan tidak senonoh terhadap polis sebelum beredar.

“Kira-kira lima minit kemudian, dia datang semula serta merakam gambar anggota polis berkenaan menggunakan telefon bimbit dari dalam keretanya. Dia sekali lagi menghina polis sebelum meninggalkan lokasi tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Muhd Nur Hishamuddin berkata, ekoran kejadian itu anggota polis tersebut telah membuat laporan di Balai Polis Bahau pada pukul 4.53 petang semalam.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan lelaki itu dijangka didakwa di mahkamah hari ini. - UTUSAN ONLINE