Bagaimanapun, tindakan suspek berusia 41 tahun itu mengundang padah apabila dia kemudiannya ditahan di Lebuh Raya Salak, Taman Connaught di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika Unit Kereta Peronda (MPV) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya membuat rondaan sebelum melihat kenderaan dinaiki suspek dalam keadaan mencurigakan di Pandan Indah.

Ujarny, anggota bertugas kemudiannya mengarahkan suspek untuk memberhentikan kenderaan dengan membuka lampu mata arah tetapi suspek terus memecut laju dan melarikan diri.

“Dalam kejadian itu, suspek telah memandu kereta dalam keadaan merbahaya dan melanggar sebuah kereta jenis Perodua Viva di Jalan Tun Razak.

“Suspek bagaimanapun berjaya ditahan di Lebuh Raya Salak berhampiran Taman Connaught dan pemeriksaan ke atasnya dan kereta dipandu tidak menemukan barang salah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Noor Azmi memberitahu, siasatan awal mendapati, suspek memberitahu bahawa dia takut untuk memberhentikan kenderaanya kerana tidak membawa lesen memandu dan dalam pengaruh dadah.

“Hasil ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapati dia positif dadah jenis amphetamine.

“Semakan rekod lampau terhadap suspek mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau iaitu memiliki senjata merbahaya,” jelasnya.

Tambah Noor Azmi, suspek kini ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 185 Kanun Keseksaan,Seksyen 279 Kanun Keseksaan dan Sesyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.-UTUSAN ONLINE