Memetik laporan Utusan Borneo, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, PGO Sarawak dimaklumkan tentang mangsa yang dilaporkan hilang itu telah ditemukan pukul 11.30 pagi di dasar sungai pada jarak dua kilometer (km) dari Jambatan Kuala Tatau.

Bagaimanapun, jelasnya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak polis.

“Mangsa, Zainudin Lili, 46, dipercayai kali terakhir keluar dari rumah dan mula disedari hilang pada 22 April lalu.

“Susulan itu laporan polis telah dibuat oleh isteri mangsa pada pukul 8 malam 23 April dan pihak polis yang menerima laporan telah menjumpai kereta mangsa berhampiran Jambatan Kuala Tatau,” lapor Utusan Borneo di sini hari ini.

Dalam pada itu, menurut jurucakap itu, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) turut membantu menyertai operasi digunakan untuk membawa mayat di lokasi kejadian.

Jelasnya, operasi yang diketuai PBK II Azman Hamid itu disertai enam anggota bomba, 10 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), 15 anggota JKDM dan 12 penduduk kampung.-UTUSAN ONLINE