Md. Zulhaidi Ramsi, 45, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret V. Vanita.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa dengan curangnya telah menipu warga emas, Kamal Rafidi Mohd. Zakaria, 60, dengan jual beli tanah tidak wujud yang didakwa dilakukannya di Seremban pada pukul 11.30 pagi, 21 Julai 2018.

Perbuatannya mendorong lelaki tersebut menyerahkan wang berjumlah RM12,073 secara serahan tunai iaitu cagaran berharga yang mana beliau tidak akan menyerahkannya sekiranya tidak diperdaya oleh tertuduh.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun serta denda dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur ‘Atiqah Sapari manakala tertuduh diwakili peguam Noor Azizi Abdul Aziz dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Sementara itu, Noor Azizi memohon mahkamah mengenakan wang jaminan minimum terhadap tertuduh kerana dia mempunyai empat orang anak selain isteri yang bekerja sebagai penjawat awam dengan gaji RM800.

Vanita kemudian menetapkan wang jaminan sebanyak RM8,000 dan tarikh perbicaraan bagi kes tersebut pada 21 Jun. - UTUSAN ONLINE