Dalam kejadian pada pukul 8.30 malam, mangsa berusia awal 30-an ditemukan oleh orang awam dalam keadaan terlentang dan lengkap berpakaian di hadapan sebuah rumah di kampung tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Wan Khairuddin Wan Idris berkata, pihak polis menerima maklumat penemuan mayat seorang lelaki di lokasi kejadian.

“Hasil siasatan di lokasi kejadian mendapati mangsa mengalami kecederaan di kepala, muka dan badan akibat ditetak.

“Kita tidak menemui sebarang senjata di lokasi kejadian dan kita percaya mangsa ditetak di lokasi ini berikutan penemuan darah di tempat kejadian,” katanya ketika ditemui di sini malam tadi.

Beliau berkata, mayat dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kejadian.

Tambahnya, polis sedang melakukan siasatan lanjut berhubung kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - UTUSAN ONLINE