Rampasan melibatkan 11 ekor burung spesies Green-Cheeked Parakeet dan dua ekor burung Sun Conure yang dianggarkan bernilai antara RM3,000 hingga RM10,000 setiap ekor. 

Pengarah Perhilitan negeri, Wan Mat Wan Harun berkata, seorang lelaki berusia 39 tahun yang disyaki menyimpan kesemua burung itu turut ditahan di premis itu untuk membantu siasatan. 

Menurutnya, kesemua spesies burung berusia antara setahun hingga dua tahun  dari Papua New Guinea dan diseludup masuk ke negara ini melalui jalan laut dari Indonesia. 

“Serbuan dijalankan pada pukul 3 petang, 26 Julai lalu di sebuah rumah di Port Dickson. Hasil pemeriksaan  menemukan pelbagai spesies burung dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 yang disimpan di premis itu tanpa kebenaran sah daripada Perhilitan. 

“Suspek mengakui kesemua burung tersebut yang disimpan di dalam dua bangsal berasingan adalah miliknya,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini. 

Katanya, suspek yang menjalankan aktiviti itu sejak dua tahun lalu disiasat mengikut Seksyen 60(1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 yang memperuntukkan denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. - UTUSAN ONLINE