Suspek berusia 42 tahun itu ditahan di hadapan sebuah pusat aksesori dan pendingin hawa kereta di Parit Buntar, Perak kira-kira pukul 5 petang.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, suspek turut direman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes tersebut.

"Hasil siasatan awal, suspek bagaimanapun tidak mengaku terlibat dalam kejadian itu.

"Tangkapan itu dibuat selepas siasatan mendapati rumah tempat rampasan bom, senjata api dan peluru serta peralatan lain itu disewa kali terakhir oleh suspek berkenaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, Nik Ros Azhan berkata, pihaknya turut merampas sebuah telefon bimbit daripada suspek itu yang mempunytai 16 kes jenayah lampau termasuk 12 kes berkaitan dadah.

Polis kelmarin menjumpai pistol dan bom tangan selepas melakukan pemeriksaan ke atas sebuah rumah yang dipercayai dijadikan makmal memproses dadah di Taman Bukit Indah, Bukit Mertajam.

Senjata api itu ditemukan di dalam kepala katil ketika pemeriksaan di dalam sebuah bilik di tingkat dua kira-kira pukul 2.40 petang.

Turut ditemukan dalam serbuan di rumah teres dua tingkat yang dijadikan makmal dadah itu adalah lebih 400 butir peluru hidup. - UTUSAN ONLINE