Lelaki berusia 54 tahun itu ditahan dalam Ops Ice Breaker oleh sekumpulan anggota polis daerah Seberang Perai Tengah (SPT) di rumah teres dua tingkat yang disewanya kira-kira pukul 2.20 petang.

Menurut Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Roslee Chik, hasil serbuan itu, polis merampas sejumlah dadah disyaki syabu dan heroin serta pil ekstasi bernilai kira-kira RM1.14 juta.

Tambah beliau, suspek warga tempatan itu ditahan hasil risikan dan intipan polis di pekarangan rumahnya yang mana ketika ditahan dia memiliki sebanyak 78.6 gram dadah disyaki heroin bernilai hampir RM4,000.

"Pemeriksaan lanjut kemudiannya menemukan dadah disyaki syabu seberat kira-kira 15.3 kilogram (kg) bernilai RM760,120 yang disembunyikan di ruang ibadat di belakang rumah suspek.

"Selain itu, kita turut menemukan sebanyak 12,650 biji pil ekstasi bernilai RM379,500 di tingkat atas rumah yang disewa suspek," katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat kontinjen polis (IPK) negeri, di sini hari ini.

Menurut Roslee, suspek yang bergerak sendirian itu sememangnya dikenali sebagai tokan dadah dan turut memiliki sembilan rekod jenayah kebanyakannya berkait kes dadah selain turut positif dadah jenis methaphetamine.

Tambah beliau, dalam serbuan itu juga, polis turut menyita sebuah kereta jenis Audi A6 bernilai RM80,000 serta pelbagai peralatan termasuk mesin untuk memproses dadah.

Katanya, dadah yang dimiliki suspek itu dipercayai untuk pasaran tempatan yang mana sekiranya terlepas boleh digunakan oleh seramai 89,400 orang penagih dadah.

"Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga lusa bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya. - UTUSAN ONLINE