Dalam tangkapan pukul 6.50 pagi itu, seorang lelaki tempatan turut ditahan kerana membawa lima tong gas petroleum cecair (LPG) tanpa permit dan dipercayai untuk tujuan penyeludupan.

Pengarah Maritim Zon Tawau, Kepten Maritim Romli Mustafa berkata, hasil siasatan mendapati, bot tersebut dipercayai sedang menuju masuk ke Sungai Pukol dari jeti awam Tawau.

Menurutnya, penahanan bot itu dilakukan oleh bot ronda Maritim Malaysia ketika sedang menjalankan rondaan di kawasan tanggungjawab.

“Pemeriksaan awal mendapati hanya seorang juragan lelaki warganegara berusia 25 tahun berada dalam bot berkenaan.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat muatan lima tong gas LPG seberat 14 kilogram berisi dianggarkan bernilai kira-kira RM1000.00 tanpa sebarang permit sah dari pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Romli menambah, juragan dan muatan termasuk bot kargo dirampas serta diiring ke jeti Maritim Malaysia untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961. - UTUSAN ONLINE