Penahanan lelaki berusia 25 tahun itu pada mulanya dilakukan susulan pihaknya menerima laporan berkaitan kes curi sebuah motosikal.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superitenden Tok Beng Yeow berkata, pihaknya menerim maklumat berkaitan kes curi sebuah motosikal sebelum menahan suspek pukul 9.30 malam.

“Siasatan awal kemudiannya berjaya mendapatkan pengakuan suspek yang mana telah terlibat mencuri sebuah motosikal jenis Honda EX5 di Flat Temengong.

“Pemeriksaan di lokasi serbuan turut menemui sebuah motosikal, beberapa keping nombor pendaftaran palsu, pakaian dan kelengkapan melakukan jenayah itu,” katanya dalam satu

kenyataan, di sini sebentar tadi.

Beng Yeow berkata, selepas semakan dibuat, pihaknya dapati suspek juga merupakan orang dikehendaki melibatkan sebuah kes di Bemban, Melaka.

“Kita dapati suspek mempunyai empat rekod lampau iaitu dua kes Seksyen 354/348 Kanun Keseksaan, satu kes dadah dan satu lagi di bawah Akta Pencegahan Jenayah (Poca) yang mana dirinya disenarai orang dikehendaki.

“Saringan air kencing yang dilakukam turut mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Menurutnya, suspek kini akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kulai untuk mendapat perintah reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Beliau memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan. - UTUSAN ONLINE