Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Zundin Mahmood berkata, kejadian pada pukul 12 tengah hari,  kelmarin itu berlaku selepas lelaki berusia 24 tahun berkenaan cuba menyamun seorang wanita berusia 64 tahun di sebuah kedai runcit.

"Lelaki tersebut yang menaiki sebuah kereta berpura-pura mahu membeli barang di kedai runcit tersebut tetapi tiba-tiba mencekik leher wanita warga emas itu.

“Wanita tersebut bagaimanapun dapat melepaskan diri dan menjerit menyebabkan orang ramai yang berada berhampiran mengejar suspek,” katanya di sini hari ini.

Menurut Zundin, orang ramai berjaya menahan suspek tetapi dua lagi rakannya yang menunggu di dalam kereta melarikan diri.

 "Hasil siasatan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah merusuh dan berkaitan dadah.

“Suspek direman dan akan dituduh di mahkamah esok di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan terhadap warga emas," ujarnya. -UTUSAN ONLINE